Siapa hebat Wan Karpet atau Kuna?

Loading...

ALOR SETAR: Ketika final Piala Malaysia lebih tertumpu kepada ‘perang taktikal’ antara Nidzam Adzha Yusoff dan Ulisses Morais, saingan di bahagian sayap juga tidak kurang hebatnya.

Skuad Helang Merah yang dijangka menurunkan Syazwan Zainon selaku pemain sayap kiri akan membuat perhitungan dengan pertahanan kanan Johor Darul Ta’zim (JDT), S Kunanlan yang dijangka akan terus diberi kepercayaan oleh Morais untuk menutup setiap ‘ancaman’ dari bahagian tepi padang.

Syazwan yang lebih mesra disapa sebagai ‘Wan Karpet’ mengakui dia berdepan tugas sukar untuk melepasi kawalan pemain Harimau Selatan itu yang sudah membuktikan reputasinya sebagai salah seorang pertahanan kanan terbaik dalam kancah bola sepak tempatan.

“Pada pandangan saya, Kunanlan seorang pemain yang pantas dan memiliki stamina yang begitu baik, jadi saya melihat inilah cabaran yang perlu saya hadapi pada perlawanan akhir nanti.

“Tidak mudah untuk melepasi kawalan Kunanlan tapi saya akan memberikan yang terbaik demi negeri Kedah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini. Pada masa sama, pemain berusia 27 tahun itu menjelaskan peluang ‘mengenali’ beberapa pemain JDT ketika mewakili skuad Harimau Malaya tidak memberi apa-apa kelebihan kepadanya menjelang aksi final di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

“Walaupun pernah beraksi bersama beberapa pemain JDT dalam skuad kebangsaan, namun kami tidak boleh membuat perbandingan kerana corak permainan mereka ketika bersama pasukan kebangsaan dan kelab berbeza.

“Apa yang boleh saya cakapkan mereka memiliki kualiti tersendiri dan kami juga ada kualiti tersendiri, jadi pasukan mana yang memberikan yang terbaik pada malam itu akan muncul juara.

“Saya lebih suka melihat pentas akhir ini sebagai perlawanan yang biasa kerana dengan cara itu, ia dapat meredakan tekanan sekali gus membolehkan saya dapat beraksi dengan lebih tenang,” katanya.

kredit:- BH

Loading...