Siapa nak main AFC 2018

Loading...

KUALA LUMPUR: Pasukan mana yang akan beraksi dalam saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) tahun depan kini menjadi persoalan?

Ia susulan Pahang menolak pencalonan sebagai pasukan kedua Liga Malaysia (Liga M) untuk bersaing dalam kejohanan peringkat Asia itu.

Bagaimanapun, keputusan kini terletak di tangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menamakan pasukan bagi mengisi slot itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam menjelaskan pihaknya tiada kuasa untuk menentukan pasukan yang akan dipilih selepas Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Segala keputusan menamakan pasukan untuk ke kejohanan itu hanya boleh ditentukan oleh FAM dan FMLLP tiada kuasa untuk membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

JDT mengesahkan tempat ke Piala AFC tahun depan selepas muncul juara Liga Super dan slot kedua sepatutnya menjadi milik Kedah yang menjuarai Piala FA tahun ini.

Namun, kegagalan Kedah mendapatkan lesen AFC menyaksikan FAM menamakan Pahang yang juga naib juara Liga Super sebagai pengganti tempat Helang Merah.

Pahang bagaimanapun membuat kejutan apabila menolak tawaran FAM dengan alasan mahu memberi fokus sepenuhnya kepada saingan liga tempatan.

Keputusan mengejut Pahang itu turut menimbulkan persoalan pasukan mana yang akan mengiringi JDT ke kejohanan itu.

Difahamkan hanya pasukan dalam kelompok enam teratas Liga Super yang boleh menyertai Piala AFC dengan FELDA United di kedudukan ketiga, Kedah (keempat), Perak (kelima) dan Selangor (keenam).

kredit:- BH

Pahang Tolak Ganti Kedah

PETALING JAYA: Satu lagi slot ke Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 masih lagi menjadi teka-teki selepas Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) menolak tawaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menggantikan Kedah pada kejohanan tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PBNP di laman Facebooknya pada Selasa, tawaran itu ditolak kerana mereka mahu memberikan sepenuh perhatian kepada Liga Malaysia musim depan.

“PBNP ingin menjelaskan bahawa kami ditawarkan menyertai kejohanan Piala AFC 2018 melalui surat FAM bertarikh 9 November 2017.

“Bagaimanapun, PBNP menolak untuk menyertai kejohanan itu melalui surat bertarikh 14 November lalu,” demikian menurut kenyataan tersebut.

PBNP disebut-sebut bakal menggantikan Kedah yang juga juara Piala FA selepas kegagalan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) melepasi syarat pelesenan ditetapkan AFC.

Pahang antara empat pasukan selain JDT, Selangor dan PKNS FC yang lulus dalam permohonan mendapatkan lesen AFC bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Juara-Juara Asia 2018 atau Piala AFC 2018, jika layak.

Pada aksi Liga Super musim lalu, Pahang menduduki tangga kedua, ketinggalan sembilan mata di belakang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Berdasarkan rekod hanya tinggal pasukan Selangor yang mempunyai lesen AFC selain JDT, Pahang dan PKNS FC.

kredit:- mstar

Loading...