Slot Automatik AFC di berikan kepada Pahang, KFA buat rayuan

Loading...

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) akan membuat rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kegagalan negeri itu melepasi syarat Pelesenan Kelab FAM/AFC sehingga menyaksikan slot automatik ke Piala Konfederasi Asia (AFC) milik mereka diberikan kepada Pahang.

Naib Presiden KFA, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, pihaknya kini akan cuba membuat rayuan semula kepada FAM dalam menyelesaikan isu berkenaan.

“Kita masih menunggu surat pengesahan daripada FAM berhubung isu berkenaan dan apa pun kita akan tetap membuat rayuan kepada FAM untuk bertanding dalam Piala AFC.

“Ini adalah hasrat dan aspirasi penyokong Kedah untuk melihat pasukan kita bermain di peringkat Asia dan apa yang lebih penting juga Piala AFC juga adalah satu platform pendedahan kepada pemain kita untuk bermain di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-13, di Wisma Darulaman, Alor Setar, hari ini.

Tambahnya, masalah ini dijangka akan dapat diselesaikan secepat mungkin kerana pihaknya sudah pun memenuhi syarat yang dikehendaki oleh pihak FAM.

Kelmarin, media melaporkan bahawa slot untuk Piala AFC yang dimiliki oleh pasukan Kedah selaku juara Piala FA akan diserahkan kepada Pahang.

Tindakan berkenaan dilakukan oleh FAM selepas melihat kegagalan persatuan bola sepak negeri itu gagal melepasi syarat Pelesenan Kelab FAM/AFC dalam tempoh ditetapkan.

Sebelum ini, Kedah gagal memenuhi satu daripada enam kriteria yang ditetapkan untuk mendapatkan lesen FAM bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Super 2018 dan Piala AFC.

Namun selepas persatuan itu melalui proses rayuan pada September lalu, FIB (First Instance Body) hanya meluluskan lesen untuk mereka bertanding dalam Liga Malaysia (Liga-M) dan tidak dalam Piala AFC.

Enam syarat pelesenan kelab yang ditetapkan dari AFC itu merangkumi kriteria kesukanan, infrastruktur, pentadbiran, undang-undang, kewangan dan perniagaan sebelum boleh menyertai kejohanan anjuran badan induk Asia itu.

Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang memenangi Liga Super serta Kedah selaku juara Piala FA musim ini layak secara automatik untuk mengisi dua tempat mewakili Malaysia pada saingan Piala AFC itu musim depan.

Namun, hanya pasukan JDT sahaja yang berjaya memenuhi kriteria yang ditetapkan.

sumber:- HM

Loading...