SRK ‘Intai’ Kak Girl

Loading...

PETALING JAYA: Ibarat mimpi jadi kenyataan apabila bintang pujaan hati menyedari kewujudan peminatnya, lebih-lebih lagi apabila mendapat pujian atas bakat yang dimilikinya.

Begitulah perasaan Nur Amirah Maslan yang lebih dikenali sebagai ‘Kak Girl Sebenar’ oleh pengikutnya di Instagram dan Facebook.

Apa tidaknya, Raja Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan (SRK) bukan sahaja terhibur dengan gelagat Nur Amirah yang menyanyikan lagu hindi secara lip-sync, malahan tertarik dengan aksi suaminya yang bersahaja ketika dia asyik menari di dalam kereta.

Terdahulu, pengguna Twitter, Asad Khan memuat naik video tarian dan nyanyian Nur Amirah Maslan dan memetik (tag) nama SRK dan penerbit, Karan Johar pada malam Selasa.

 

Bintang tersebut memberi reaksi kepada posting berkenaan beberapa jam kemudian dan berkata: “Wow! Dan lelaki budiman itu buat tidak tahu sahaja.”

Lagu tersebut dipetik daripada klip lagu Bole Chudiyan daripada filem Khabi Kushi Khabie Gham yang dibintangi SRK.

Setakat ini, tweet SRK itu telah menerima 11,309 likes dan 3,741 ulang kicau (retweet).

Sementara itu, Nur Amirah ketika dihubungi mStar Online pada petang Rabu berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara itu oleh peminatnya melalui Facebook.

“Saya sedang bertugas di konti dan terus menghubungi suami untuk berkongsi berita gembira itu.

“Seperti yang anda lihat di video itu, suami saya masih tiada perasaan dan ‘cool’ sahaja,” katanya yang ditawarkan menjadi seorang penyampai radio sejak dua bulan lalu setelah videonya tular di laman sosial

Tambah wanita yang berasal dari Muar itu, suaminya sempat mengusik dan berkata pujian tersebut bukan ditujukan kepadanya.

Bagaimanapun, Nur Amirah tetap berbangga kerana akhirnya bintang kegilaan ramai itu turut terhibur menyaksikan gelagatnya menari tarian Bollywood.

Sebelum ini, siri video parodi seorang wanita yang melakukan aksi lip sync sambil menari di dalam kereta yang dipandu suaminya tular di media sosial pada Jun lalu.

Ramai yang terhibur dengan gelagatnya bersahaja dan melucukan, tidak kurang juga turut mendapat kecaman netizen kerana aksi gedik dan dianggap keterlaluan.

Kata Nur Amira, apa yang dilihat netizen di dalam video adalah dirinya yang sebenar.

sumber:- mstar

Loading...

Leave a Reply