Takhta LaLiga makin jauh tinggalkan Real

Loading...

Selepas DUA kekalahan dan DUA seri dalam 10 perlawanan, Real Madrid sudah boleh melupakan hasrat untuk mempertahankan mahkota LaLiga yang dimenangi, musim lalu.

Real Madrid tewas mengejut kepada Girona 2-1 pada Ahad lalu. Ia kali pertama sejak 27 tahun lalu Real tewas kepada pendatang baru LaLiga.

Selepas mengharungi 10 perlawanan, Real mencatat enam kemenangan, dua kekalahan dan dua seri. Lebih mengejutkan, mereka masih lagi belum bertemu Barcelona, Atletico Madrid, Sevilla, Villareal mahupun Celta Vigo.

Barcelona kelihatan selesa mengungguli takhta liga dengan mengumpul 28 mata sambil Real bergelut dalam setiap perlawanan, dengan jentera serangan yang seakan-akan masih mencari sentuhan terbaik mereka.

Ya, persaingan masih lagi pada awal musim, dan hanya 10 perlawanan telah disempurnakan, namun LaLiga seakan-akan sudah tidak lagi mampu digapai Real dan terdapat beberapa punca yang mempengaruhi mereka.

Hilang rentak-semangat

Real Madrid gagal mengulangi prestasi pada musim lalu. Jentera serangan buntu di depan gol, barisan pertahanan kerap goyah apabila diberikan tekanan, tengah pula menghadapi kesukaran untuk mengawal rentak permainan manakala kesilapan mudah penjaga gol sering kali membawa padah kepada Los Blancos.

Kecederaan yang dialami oleh beberapa pemain dalam kesebelasan utama turut menjadi faktor, dengan kegagalan mereka untuk mendapatkan pemain-pemain berkualiti pada jendela perpindahan musim panas lalu kini menghantui mereka.

Formasi-taktikal Los Blancos tidak berhasil

Kejayaan Real musim lalu merupakan hasil pendekatan yang telah diterapkan oleh Zinedine Zidane. Ia dapat dilihat dalam aksi final Liga Juara-Juara (UCL) ketika berdepan Juventus apabila Real mempamerkan persembahan yang cemerlang dalam separuh masa kedua sebelum melakar kemenangan 4-1 di Cardiff. Bagaimanapun, sentuhan magis Zidane seakan-akan mudah dibaca oleh pasukan lawan.

Zidane yang menerapkan sistem ‘diamond’ yang dilihat semakin mudah dibaca pasukan lawan serta pemain-pemain Real juga dilihat buntu ketika merencanakan gerakan. Formasi serta taktikal ini perlu diubah jika Real mahu terus memberikan saingan.

Dalam beberapa perlawanan untuk musim ini, beliau lewat membuat keputusan untuk menggantikan pemain. Sama ada ia untuk membenarkan barisan pertahanan lebih ampuh atau untuk meningkatkan intensiti dalam serangan, beliau gagal mengenal pasti pemain terbaik untuk dibawa masuk sebagai pemain gantian.

Musim lalu, Zidane memberikan peluang kepada semua pemain untuk membuktikan kebolehan mereka dan pasukan B Real telah menampilkan persembahan yang terbaik ketika diturunkan. Tetapi bagi musim 2017-18, kekurangan pilihan untuk mengisi kesebelasan utama menyebabkan Zidane terpaksa menurunkan pemain-pemain yang sama. Masalah ini telah menyebabkan Zizou gagal menurunkan barisan terbaik untuk setiap perlawanan.

Barcelona kembali garang

Di sebalik krisis yang melanda Catalonia, Barcelona tenang mengungguli carta liga. Dengan meraih 28 mata setakat ini, mereka memiliki kelebihan lapan mata ke atas Real.

Barca hanya tercicir mata ketika bertemu Atletico (seri 1-1). Walaupun terdapat kekurangan dalam permainan mereka, keputusan positif berjaya diraih skuad kendalian Ernesto Valverde itu dan momentum itu akan diteruskan bagi saingan musim ini.

Messi melakukan apa yang Messi patut lakukan: memastikan Barca lolos daripada situasi yang sukar. Setakat ini, Messi telah menjaringkan 16 gol musim ini dan kini baru sahaja berakhir bulan Oktober.

Ketiadaan Moussa Dembele yang terpaksa berehat panjang kerana mengalami kecederaan tidak membantutkan persembahan Barcelona setakat ini. Jika bekas bintang Borussia Dortmund itu pulih, Real berada dalam keadaan yang berbahaya.

Tanpa kelibat Neymar yang berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG), Barca tidak kelihatan kehilangan rentak, sebaliknya lebih dahagakan kejayaan. Kejayaan Real menjuarai gelaran UCL dalam dua musim dijadikan sebagai faktor utama mereka dalam usaha untuk cemerlang musim ini.

Bagaimanapun, Real masih lagi berpeluang untuk mengubah keadaan yang mereka hadapi. Dalam bola sepak, apa-apa sahaja boleh berlaku. Cristiano Ronaldo juga memiliki peranan perlu dimainkan buat Real. Kini tiba masa untuk dirinya membuktikan kredibilitinya sebagai pemain terbaik dunia.


kredit:- stardium astro

Loading...