Thierry, Zaonic lengkapi senarai import Terengganu zfc (TFC)

Loading...

PASUKAN Terengganu FC I (TFC I) melengkapkan senarai lima kuota pemain importnya setelah berjaya mendapatkan khidmat dua pemain kebangsaan daripada Kemboja (Thierry Chantha Bin) dan Serbia Montenegro  (Igor Zaonic) bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim berkata, kedua-dua pemain yang berusia 26 tahun  itu dijadualkan tiba di negeri ini dan mula menjalani latihan pra musim  bersama pasukan pada pertengahan bulan depan.

Menurutnya, selepas penjenamaan semula pasukan Terengganu ke TFC I pasukan hanya mengekalkan penyerang import dari Ivory Coast, Tchetche Kipre, selain berjaya mendapatkan khidmat bekas pemain import Negeri Sembilan, Lee Andrew Tuck dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Kim Hyeon Woo dari Korea Selatan.

“Malah kehadiran Therry yang beraksi di bahagian tengah itu berjaya memenuhi  kuota pemain import Asia Tenggara manakala Zonjic pula menggantikan  kekosongan benteng pertahanan  ditinggalkan  Lazaro Vinicius setelah kontraknya  tidak dilanjutkan musim depan.

“Jadi secara keseluruhannya kita telah memiliki barisan pemain yang bakal membawa cabaran baharu buat TFC I untuk kembali bersaing dalam kancah Liga Super musim depan selepas semusim bermain di Liga Perdana.

“Kita akan memulakan sesi latihan pra musim Isnin ini, bagaimanapun hanya Lee Andrew Tuck akan turun bersama pasukan manakala tiga lagi pemain import dijangka melaporkan diri pertengahan atau hujung bulan depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui  selepas menguruskan pendaftaran pemain musim depan di Pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) di sini, tengahari tadi.

Turut kelihatan beberapa kelibat muka baharu yang bakal membawa cabaran skuad TFC I musim depan antaranya termasuklah  tiga bekas pemain T-Team, Mohd Fauzi Abdul Kadar, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris dan Mohamad Kamal Azizi Mohamad Zabri, bekas penjaga gol Pahang, Wan Mohd Azraai Wan Teh, Mohd Fitri Omar (Kedah) dan dua bekas pemain Kuantan FA, Abdul Malik Mat Ariff serta Shahrul Aizad.

Dalam pada itu, Irfan Bakti turut mengesahkan kehadiran kembali bekas penolong ketua jurulatih Felda United, Mohamad Nik bersama barisan kejurulatihan TFC I musim depan selain dibantu dua penolong jurulatih musim ini, Mohd Nafuzi Mohd Zain dan Kamaruddin Annuar.

sumber:- SH

Loading...