Tunku Ismail kecewa dengan KFA

Loading...

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluahkan rasa kecewa terhadap layanan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kepada penyokong setia pasukan itu ketika jualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, semalam.

Malah, Tunku Ismail menyarankan mana-mana individu berkenaan melepaskan jawatan disandang sekiranya gagal melaksanakan tanggungjawab dengan telus.

“Saya amat kecewa dengan sikap dan layanan diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah kepada penyokong setia mereka.

Penyokong yang beratur dan datang memberi sokongan setiap kali perlawanan di Stadium Darul Aman sebelum ini tidak dapat tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir Sabtu ini.

“Tapi individu yang tiada kena mengena dengan bola sepak yang dapat tiket melalui saluran tertentu. Saya dimaklumkan hingga 6,000 keping tiket ditempah oleh orang tertentu dalam KFA.

“Saya harap individu seperti ini tidak perlu berada di persatuan bola sepak. Lebih baik berundur dan bagi orang yang layak mengutamakan penyokong dan dapat menjaga persatuan dengan tulus,” katanya menerusi laman sesawang Johor Southern Tigers, hari ini.

Tunku Ismail bertegas beliau sering mengutamakan penyokong setia pasukan dan menolak permohonan 1,000 tiket oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebaliknya hanya memberikan 600 keping kepada jemputan khas.

Pada masa sama, Tunku Ismail berharap semua persatuan dan kelab dapat belajar daripada kesilapan lalu kerana bola sepak adalah hak milik penyokong, bukannya individu tertentu.

“Saya juga dimaklumkan terdapat individu dalam parti politik yang bergaduh dan sabotaj antara satu sama lain berkenaan penjualan tiket perlawanan akhir. Siasatan sedang dilakukan mengenai perkara ini.

“Sekiranya tidak berlaku alhamdulillah, tapi jika didapati ia benar, bersedialah berjumpa dengan saya. Di Johor tiada tempat (buat) orang korupsi seperti ini. Bola sepak adalah hak milik rakyat dan bukannya untuk dipolitikkan.

“Saya harap semua persatuan dan kelab dapat belajar daripada kesilapan ini kerana penyokong adalah nadi kepada persatuan dan kelab bola sepak,” katanya.

kredit:- BH

Loading...