[VIDEO] Siti Nurhaliza terharu kunjungan Hetty Koes Endang

Loading...

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Kasih dan sayangnya biduanita tersohor Indonesia, Hetty Koes Endang terhadap buah hati Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin sukar diungkap dengan kata-kata.


Video oleh SAHARUDIN MUSTHAFA

Lalu, sebaik menerima berita kehamilan penyanyi terkenal Malaysia itu, hati Hetty tidak senang selagi tidak bersemuka dengan Siti Nurhaliza dan mahu memeluk seeratnya kerana terlalu bersyukur dengan anugerah Allah buat artis yang sudah seperti saudara kandungnya.

Sejak mengetahui Siti Nurhaliza hamil, Hetty kerap menghubungi penyanyi itu menerusi telefon atau bertanya khabar melalui kiriman mesej WhatsApp.

Justeru, apabila menerima undangan sebagai juri tetap program Gegar Vaganza 4 terbitan Astro yang memerlukan seniwati hebat Indonesia itu berada di Kuala Lumpur setiap minggu, Hetty mengambil kesempatan untuk mengunjungi Siti Nurhaliza.

Lalu, hari ini sebaik mendarat di ibu kota, Hetty, yang ditemani anaknya, Ameer Mahmed terus berkunjung ke kediaman Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa di Bukit Antarabangsa, di sini.

Pelukan yang erat diberikan Hetty, 60, kepada Siti Nurhaliza, 38, sebaik bertemu. Mereka saling berbalas kucupan di pipi tanda eratnya persahabatan yang terjalin antara dua bintang tersohor dari dua negara bersaudara itu.

“Selalu saya berbual melalui telefon dan mengirim rakaman audio. Tapi itu seperti orang lain. Saya tak puas hati kalau tidak datang berjumpa dengan beliau (Siti Nurhaliza) sendiri. Saya katakan pada diri saya terserah kalau beliau tidak menerima saya di rumahnya juga tidak mengapa, janji saya datang berjumpa dengan beliau.” kata Hetty ketika ditemui.

Tidak hanya didorong oleh keinginan peribadinya untuk bertemu Siti Nurhaliza yang sedang hamil selepas 11 tahun bernikah, Hetty turut mengakui suaminya, Yusuf Emir Faishal juga sentiasa berpesan padanya agar berkunjung ke kediaman penyanyi berkenaan sebagai tanda kasih dan sayang.

“Suami saya berpesan saya harus datang bertemu Siti Nurhaliza. Tidak manis katanya kerana saya berada di Kuala Lumpur setiap minggu untuk Gegar Vaganza, jadi harus bertemu dengan Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid (suami Siti Nurhaliza),” ujar beliau lagi.

Kehadiran Hetty juga bukan dengan tangan kosong, sebaliknya, legenda industri muzik Indonesia itu turut membawa buah limau dari Jakarta semata-mata untuk diberikan kepada Siti Nurhaliza yang sememangnya mengidam buah berkenaan.

Sementara itu, Siti Nurhaliza menyatakan rasa terharunya kerana menerima kunjungan daripada seniwati yang bukan sekadar sahabat seperjuangan dalam bidang seni, sebaliknya, Hetty sudah dianggap seperti ibu, kakak dan mentornya.

“Syukur Alhamdulillah, kerana ibu Hetty begitu prihatin dan begitu mengambil berat keadaan saya yang sedang hamil. Beliau sering menelefon dan mengirim WhatsApp bertanya khabar saya. Kehadirannya amat saya hargai dan saya ingin rakamkan terima kasih yang tidak terhingga,” kata Siti Nurhaliza yang kandungannya kini memasuki usia lima bulan.

Dalam pertemuan itu juga, Hetty jelas Siti Nurhaliza, sekali lagi menitipkan pesanan agar berhati-hati dalam kehamilan, menjaga pemakanan dan yang paling utama menjaga pantang larang.

Turut serta dalam pertemuan itu ialah suami Siti Nurhaliza, Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa serta pengurus yang juga kakak ipar Siti Nurhaliza, Rozi Abd. Razak.

kredit- UTUSAN ONLINE

 

Loading...